NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori maut ditikam jirannya yang dipercayai mabuk dalam kejadian di sebuah rumah pangsa di Taman Desa Jawi, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, A Harinnderaruban, 35, dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pertengkaran membabitkan jirannya itu dan isterinya.

"Terdahulu, suspek yang berusia 27 tahun minum bersama mangsa sehingga mabuk di kawasan luar rumah mereka.

"Suspek dikatakan membuat bising menyebabkan isterinya menegur perbuatan tersebut di hadapan mangsa. Berang dengan teguran isterinya, suspek kemudian memukul dan memarahi isterinya itu.

"Mangsa dipercayai ditikam ketika cuba meleraikan pertengkaran suami isteri itu," katanya di sini, hari ini.

Chong Chern berkata, isteri suspek berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan suaminya, manakala mangsa yang cedera sempat meminta bantuan penduduk.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Suspek yang bekerja sebagai pemungut kelapa sawit kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.